Gemerlapan

Monday 4 March 2013

Misteri Kolam Air Panas

MISTERI KOLAM AIR PANAS
MACHANG, KELANTAN:  TERDAPAT begitu banyak kejadian aneh, pelik dan misteri yang berlaku di dunia ini. Malahan perkara-perkara seumpama ini bukan hanya berlaku di negara luar, malah banyak juga berlaku di negara kita. Antaranya ialah penemuan Tongkat Ali Gergasi di Kuala Terengganu, Mata Air Masin di Kodiang, Kedah, Telaga Air Panas di Langkawi dan bermacam-macam lagi.
Di Kelantan juga terdapat sebuah pancutan air panas penuh misteri yang dinamakan Kolam Air Panas Tok Bok, Machang yang masih belum dikenali umum biarpun ia wujud berpuluh-puluh tahun yang lalu.

Bagi mendapatkan gambaran sebenar tentang peristiwa misteri yang masih belum dirungkai dan diketahui orang ramai, Penulis berkesempatan menemui penduduk asal berhampiran Kolam Air Panas berkenaan, Zainab binti Ishak, 65, serta anaknya Hasnah binti Hamzah, 39, dari Kampung Rengas, Tok Bok dekat sini.

Menurut Zainab Ishak sewaktu menceritakan penemuan kolam tersebut menyatakan, sewaktu ketika dahulu kolam berkenaan tidak mempunyai nama. Ini kerana, semasa ditemui oleh pemilik tanah tersebut, arwah Setawa binti Senik (meninggal sekitar tahun 1970) iaitu di zaman pendudukan Jepun di Kelantan pada tahun 1941 hanyalah sekadar pancutan air panas biasa. Ia baru sahaja diusahakan oleh bekas Tok Penggawa kampung berkenaan, Allahyarham Taib di mana pancutan air panas itu terletak betul-betul di tengah sawah dalam kawasan belukar dan semak-samun.

Katanya lagi, sebelum ditemui kolam berkenaan, sewaktu ketika dahulu terdapat sebuah gua kecil yang dinamakan Gua Bukit Sabut. Tetapi kini, gua tersebut telah runtuh akibat ditimpa kayu kerana kawasan berkenaan pada masa dulu selain belukar ia adalah sebuah hutan tebal.

Sementara menurut anaknya, Hasnah Hamzah, 39, berkata, sebagaimana yang pernah diceritakan oleh orang-orang kampung di zaman remajanya menyatakan bahawa memanglah pancutan air panas itu ditemui semasa pendudukan Jepun di Kelantan sekitar tahun 1941. Kolam berkenaan mula dibina secara tidak sistematik pada tahun 1960 dan selepas itu dibina secara moden pada tahun 1980.

Menurutnya, beliau pada mulanya agak hairan kenapa wujud air panas di tengah-tengah sawah apabila persoalan berkenaan ditimbulkan oleh Penulis. Beliau menjelaskan, dari apa yang diberitahu oleh salah seorang graduan Universiti Sains Malaysia (USM), Kuala Lumpur yang turut melakukan kajian bagi melengkapkan praktikalnya pada tahun 2004 menyatakan, terdapat kesan gunung berapi wujud di kawasan terbabit. Ini kerana menurut graduan itu lagi menyatakan, salah satu sebab air tersebut dalam keadaan panas kerana wujudnya lava dari pada gunung berkenaan. Tetapi menurutnya, penduduk kampung terbabit tidak perlu bimbang kerana lava berkenaan sudah pendam dan ia tidak akan meletus atau membahayakan manusia.

Dari sudut kesihatan menurutnya, air panas dari kolam itu amat berkhasiat dan berunsur perubatan tetapi hendaklah betul-betul sakit bagi membolehkan khasiat dari kolam air panas itu dijadikan sebagai penawarnya. Beliau pernah melihat salah seorang mangsa diserang penyakit strok, apabila berendam di dalam kolam tersebut didapati sembuh sepenuhnya. Sebaliknya, bagi orang yang dalam keadaan sihat tidak digalakkan atau mandi kerana dibimbangi menyebabkan keletihan yang teruk jika tidak disiramkan dengan air yang sejuk.

Selain itu, belerang yang dikatakan lava sebagai penyebab air kolam itu menjadi panas juga berunsur perubatan terutamanya untuk mengubati ruam dan gatal-gatal kulit dengan cara menyapu belerang tersebut di tempat yang gatal.

Hasnah menambah, semenjak arwah pemilik tanah itu membina rumah kediamannya pada tahun 1950, tidak wujud perkara-perkara misteri. Namun, beliau mendapat tahu tentangnya daripada beberapa orang warga emas dan penduduk asal kampung berkenaan memberitahu, apabila berlaku hujan panas pasti akan menjelma kelibat susuk lembaga berbentuk manusia terutamanya di siang hari berhampiran kolam tersebut.

"Ada beberapa orang tua di kampung ini memberitahu, tatkala berlaku hujan panas akan kelihatan seperti lembaga manusia muncul berhampiran kolam itu walaupun di siang hari", ujarnya yang pernah mendapat cerita orang-orang tua di kampungnya itu.

Beliau juga mengetahui tentang satu cerita seorang pemuda di kampung berkenaan bernama Daud, 40, yang kerap kali pergi ke kolam tersebut kira-kira jam 5.00 pagi kerana itulah rutin hariannya sewaktu zaman remaja. Sewaktu mendekati di sebatang jalan yang sering dilaluinya berhampiran kolam tersebut, dalam kesamaran cahaya lampu motosikalnya beliau terdengar bunyi air berkocak seperti ada seseorang yang sedang mandi di dalam tersebut.

Disebabkan suasananya agak gelap kerana dilindungi semak-samun dan belukar, beliau terus mengamati bunyi deburan air memang dari arah kolam terbabit. Jadi, untuk mengetahui dengan lebih jelas, beliau membelokkan kedudukan motosikalnya dengan menghalakan lampu hadapan motosikalnya ke arah kolam tersebut. Dengan menekan pedal motosikalnya sehingga menyebabkan bunyi yang tinggi supaya lampu motosikalnya berkeadaan terang menyinari keseluruhan kolam tersebut dan dari apa yang disaksikannya beliau dapat melihat lembaga perempuan seperti manusia berambut panjang mengurai sedang mandi dalam tersebut tetapi membelakangi suluhan lampu motosikalnya. Akibat pancaran lampu dan bunyi enjin yang kuat dari motosikalnya itu menyebabkan lembaga perempuan yang sedang asyik mandi dalam kolam berkenaan terus ghaib.

Daripada pengamatannya beliau dapat menafsirkan, lembaga perempuan yang sedang mandi itu adalah jelmaan Puteri Sa'adong dari keturunan Raja Jembal. Setelah melihat lembaga tersebut ghaib serta merta pada pagi itu, beliau tidak lagi berani bertandang ke kolam terbabit pada awal pagi kecuali selepas Subuh dan waktu siang hari kerana bimbang terserempak dengan lembaga perempuan yang sama.

Kata Hasnah lagi, kolam itu juga selain menyebabkan salah seorang yang pernah mandi dan lemas tetapi dapat diselamatkan, ia turut mengorbankan salah seorang penduduk yang telah lanjut usia dari Kampung Rengas, Tok Bok itu sendiri bernama Ismail Noh atau lebih dikenali dengan panggilan 'Pak Tengah'. Beliau yang meninggal jam 8.00 pagi di kolam tersebut masih belum ditemui sehinggalah jam 10.00 pagi pada hari yang sama. Persoalannya, ke manakah mayatnya dibawa pergi ataupun mungkinkah ghaib di kolam tersebut kemudian muncul semula dua jam kemudian?

Sememangnya, sewaktu ketika dahulu Kolam Air Panas Tok Bok memang popular dan sering kali dikunjungi orang ramai dari beberapa daerah lain di Kelantan untuk melihat dengan lebih dekat keanehan dan keajaiban kuasa Illahi di alam ini. Tetapi kini ia tidak lagi menjadi minat orang untuk menikmati keanehan dan panorama alamnya dan ia terbiar begitu sahaja tanpa penjagaan yang sewajarnya.

Justeru, adakah ia disebabkan wujudnya perkara-perkara misteri yang sering diperkatakan umum sehingga kolam tersohor terbiar begitu? Ataukah kerananya menyebabkan orang ramai takut untuk mendekatinya kerana pernah dilaporkan tentang kematian di kolam itu, ghaib dan muncul kembali? Apapun alasannya sehinggakan Kolam Air Panas terus terbiar sama ada didakwa tempat yang aneh dan misteri, sebaliknya jadikanlah kejadian berkenaan sebagai panduan kerana alam yang kita huni ini hakikatnya penuh aneh dan misteri walaupun ramai orang masih enggan mempercayainya.

Zainab binti Ishak.
Hasnah binti Hamzah.
Inilah wajah Kolam Air Panas Tok Bok, Machang, Kelantan.
Arah susuk lembaga Puteri Sa'adong sedang mandi membelakangi Daud.
Kawasan ini pada masa dulu tersergam sebuah gua kecil dinamakan Gua Bukit Serabut itu?
Di sinilah Daud menghentikan dan menghalakan lampu motosikalnya ke arah kolam untuk melihat gerangan


 http://azmipasak.blogspot.com/2011/12/misteri-kolam-air-panas.html
siapa sedang mandi dalam kolam pagi itu

No comments:

Post a Comment