Menteri
Kebudayaan Mesir, Farouk Hosni menarik balik kenyataannya sebelum ini
yang mendakwa polis telah berjaya menemui karya lukisan Vincent Willem
van Gogh yang dicuri dari sebuah muzium di sini, semalam.
Katanya, ia berpunca daripada maklumat kurang tepat yang diterima polis dan usaha mencari lukisan itu akan diteruskan.
Semalam, Menteri itu mengumumkan polis telah berjaya merampas lukisan
tersebut daripada pasangan warga Itali di lapangan terbang di sini
beberapa jam selepas ia dicuri di Muzium Mahmoud Khalil.
Farouk, bagaimanapun hari ini menarik balik kenyataannya itu melalui berita yang disiarkan di sebuah stesen televisyen tempatan.
"Saya bercakap berdasarkan maklumat yang kami terima dan akhirnya mendapati ia tidak tepat.
"Pihak berkuasa akan meneruskan usaha mencari lukisan itu," katanya.
Punca kekeliruan tentang nasib lukisan itu masih tidak jelas dan
beberapa pegawai yang dihubungi enggan mengulas tentang perkara
tersebut.
Dalam pada itu, seorang pegawai yang enggan dikenali berkata, kamera
keselamatan di muzium berkenaan telah rosak sejak sekian lama.
"Kamera keselamatan dan alat penggera di muzium itu tidak berfungsi
sejak sekian lama. Ia tidak dibaiki sehingga hari ini kerana kami gagal
menjumpai alat gantinya," kata pegawai itu.
Ini merupakan kali kedua karya pelukis Belanda itu dicuri dari Muzium
Mahmoud Khalil. Kali pertama pada 1978 sebelum pihak berkuasa berjaya
menemuinya kembali di satu tempat yang dirahsiakan di Kuwait dua tahun
kemudiannya.
Lukisan itu dikatakan dihasilkan pada 1887 dan van Gogh dipercayai
mengambil masa 29 bulan untuk menyiapkannya sebelum beliau membunuh diri
pada 1890 ketika berusia 37 tahun.
Sepanjang hayatnya, beliau telah menghasilkan lebih 2,000 karya selain
merupakan pelukis pertama memperkenalkan kesenian moden dalam setiap
karyanya.
Menurut Farouk, lukisan yang dikenali dengan dua nama, Poppy Flowers dan
Vase with Flowers itu bernilai AS$50 juta (RM157.16 juta). - AP
No comments:
Post a Comment