Friday, 22 March 2013
Guna kertas undi ubah kerajaan – Ustaz Azhar
KOTA BHARU: Kata Ustaz Azhar Idrus lebih 100,000 berada dalam Stadium Sultan Muhammad Ke IV dan hampir 10,000 lagi di luar stadium, program Haflah Ilmu Anak Muda Kelantan malam tadi.
Situasinya memang begitu. Di atas padang penuh sesak dan tempat duduk di tangga stadium juga penuh. Sebahagian lagi berada di luar stadium.
Kenderaan diparkir hampir satu km dari stadium. Di kawasan pusat bandar penuh dengan kenderaan. Kenderaan diparkir di sepanjang Jalan Sultan Ibrahim, Jalan Hospital dan Jalan Dusun Muda.
Lebih mengujakan lagi Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat datang dengan wayar di lengan, kembali seketika daripada hospital.
Dan selepas solat Maghrib dan bertemu dengan panelis program berkenaan Ustaz Azhar dan Ustaz Haslim Basrin, Menteri Besar masuk semula ke wad. Beliau dirawat sejak Rabu di hospital terbabit.
Hadir sama di stadium Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakub, anggota-anggota Exco, pegawai kerajaan dan Naib Presiden Ikram Malaysia, Wan Subki Wan Abdullah.
Program bermula dengan solat Maghrib berjemaah. Selepas solat Isya yang diimamkan Timbalan Menteri Besar, ditayang video tragedi yang menimpa umat Islam di Syria. Gambar disiarkan begitu menyayat hati penonton.
Kutipan derma malam tadi akan disumbangkan kepada rakyat Syria dan Palestin yang sedang menderita sekarang.
Beberapa petugas mengutip derma pada akhir program kelihatan memikul guni dipercayai duit yang disumbang lautan manusia.
Ustaz Azhar berkata, suasana yang hanya pernah disaksikan di Makkah sebelum ini di mana orang ramai memenuhi masjid untuk mencari ilmu juga berlaku di Kelantan.
Katanya, ketika kuliahnya di masjid di Wakaf Bharu orang ramai yang datang terpaksa menunaikan solat di tepi longkang.
“Malah di Masjid Kampung Sireh saya tengok dalam Youtube ada orang solat di celah pokok bunga di luar masjid kerana kerana keadaan begitu sesak.
“Oleh itu kita kena pertahankan kerajaan yang dipimpin ulama. Tak kan pula hendak tukar ulama yang memimpin sekarang,” katanya menjawab soalan Ustaz Syed Mohd Nor Hisyam Tuan Padang, yang bertindak sebagai moderator.
Beliau juga menjelaskan pandangan sesentengah pihak yang mengatakan kalau tidak sokong kerajaan nanti hendak makan apa, disifatnya boleh jatuh kepada perbuatan syirik.
“Orang yang tidak sokong kerajaan pusat pun makan nasi juga, bukannya makan skru. Kita hendak pilih kerajaan yang mampu memberi ilmu agama kepada rakyat.
“Ketua negara yang tidak berjiwa Islam, negara pastinya akan rosak. Jadi kita hendaklah menggunakan peluang mengubah kerajaan menggunakan kertas undi.
“Rakyat termasuk generasi muda akan lebih selamat sekiranya bernaung di bawah pemerintah yang menjaga agama,” katanya.
Ustaz Haslin juga menegaskan rosak rakyat jelata kerana diperintah oleh golongan pemimpin yang korup.
(Ikuti berita lanjut dalam Harakah edisi cetak keluaran akan datang).
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment