Tarikh:
Feb 11, 2010
Riwayat:
(Muslim)
Kategori:
Akidah
Hadith:
Dari Abu Hurairah r.a katanya, Rasulullah SAW bersabda:Tidakkah kamu
lihat apabila seorang manusia mati, matanya terbeliak ke atas? Jawab
mereka, Ya kami melihatnya, ya Rasulullah. Sabda baginda lagi:Hal itu
terjadi kerana penglihatannya mengikut rohnya ketika roh itu pergi.
Huraian Hadith:
Kehidupan yang singkat di dunia ini amat penting dalam menentukan
kehidupan yang panjang di akhirat kelak. Manusia, selain tidak
mengetahui hari kematiannya, mereka juga tidak mengetahui nasib akhirnya
sama ada mati dalam keadaan husnul khatimah atau su'ul khatimah,
sekalipun amal ibadat dirasakan semakin bertambah. Rasulullah SAW
sendiri telah bersabda yang maksudnya:Dan Dialah Tuhan dan tiada Tuhan
selain Dia. Sesungguhnya salah seorang di antara kamu beramal dengan
amalan ahli syurga sehingga jarak antara dia dengan syurga itu hanya
sehasta. Tiba-tiba kitabnya telah mendahuluinya, lalu ia pun beramal
dengan amalan ahli neraka, maka ia masuk ke dalam neraka. Dan
sesungguhnya salah seorang di antara kamu beramal dengan amalan ahli
neraka sehingga jarak antara dia dengan neraka itu sehasta sahaja.
Tiba-tiba kitabnya telah mendahuluinya, lalu ia pun beramal dengan
amalan ahli syurga, maka ia masuk ke dalam syurga. (Bukhari). Hadith
ini memperingatkan kita bahawa tidak ada manusia yang dapat menjamin
kesudahan yang baik bagi dirinya. Namun begitu dalam meniti saat-saat
kematian, adakalanya Allah SWT menunjukkan kepada hambaNya tanda-tanda
baik ("Husnul Khatimah") atau tanda-tanda buruk (su'ul khatimah) dalam
mengakhiri ajal seseorang. Sebab itulah kita diseru agar sentiasa
berhati-hati supaya tidak terjerumus dengan godaan syaitan yang menggoda
tidak kira masa sama ada ketika masih hidup di dunia atau semasa
menghadapi sakaratul maut. Sesungguhnya mengingati dan menghayati erti
kematian adalah satu motivasi diri yang terbaik supaya diri kita menjadi
lebih insaf dan tidak leka dengan keindahan dunia yang hanya sementara
ini.
~ http://www.islam.gov.my/e-hadith/mati-dengan-mata-terbeliak
- Hits : 1294
No comments:
Post a Comment