Ketenangan itu dicapai melalui zikrullah.
Namun zikrullah yang bagaimana dapat memberi kesan dan impak kepada
hati? Ramai yang berzikir tetapi tidak tenang.
Ada orang berkata, “ketika saya dihimpit
hutang, jatuh sakit, dicerca dan difitnah, saya pun berzikir. Saya
ucapkan subhanallah, alhamdulillah, Allah hu Akbar beratus-ratus malah
beribu-ribu kali tetapi mengapa hati tidak tenang juga?”
Zikrullah hakikatnya bukan sekadar
menyebut atau menuturkan kalimah. Ada bezanya antara berzikir dengan
“membaca” kalimah zikir. Zikir yang berkesan melibatkan tiga dimensi –
dimensi lidah (qauli), hati (qalbi) dan perlakuan (fikli).
Mari kita lihat lebih dekat bagaimana
ketiga-tiga dimensi zikir ini diaplikasikan. Katalah lidah kita
mengucapkan subhanallah – ertinya Maha Suci Allah. Itu zikir qauli.
Namun, pada masa yang sama hati hendaklah
merasakan Allah itu Maha Suci pada zat, sifat dan af’al (perbuatannya).
Segala ilmu yang kita miliki tentang kesucian Allah hendaklah dirasai
bukan hanya diketahui. Allah itu misalnya, suci daripada sifat-sifat
kotor seperti dendam, khianat, prasangka dan sebagainya.
Dimensi Kata, Rasa Dan Tindakan
Jika seorang hamba yang berdosa bertaubat
kepada-Nya, Allah bukan sahaja mengampunkannya, malah menghapuskan
catatan dosa itu, bahkan menyayangi dan memberi “hadiah” kepadanya.
Firman Allah:
“Wahai orang-orang yang beriman!
Bertaubatlah kepada Allah dengan taubat yang semurni-murninya,
mudah-mudahan Allah akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan
memasukkan kamu ke dalam syurga-syurga yang mengalir di bawahnya
sungai-sungai…” (Surah At Tahrim: 8)
Firman Allah lagi:
“… Sungguh, Allah menyukai orang yang taubat dan menyukai orang yang menyucikan diri.” (Surah Al-Baqarah: 222)
Sifat ini berbeza sekali dengan kita
manusia yang kekadang begitu sukar memaafkan kesalahan orang lain. Dan
segelintir yang mampu memaafkan pula begitu sukar melupakan –forgive yes, forget not! Hendak memberi hadiah kepada orang yang bersalah mencaci, memfitnah dan menghina kita?
Ah, jauh panggang daripada api! Begitulah
kotornya hati kita yang sentiasa diselubungi dendam, prasangka dan
sukar memaafkan. Tidak seperti Allah yang begitu suci, lunak dan pemaaf.
Jadi, apabila kita bertasbih, rasa-rasa inilah yang harus diresapkan ke
dalam hati. Ini zikir qalbi namanya.
Tidak cukup di tahap itu, zikrullah perlu
dipertingkatkan lagi ke dimensi ketiga. Hendaklah orang yang bertasbih
itu memastikan perlakuannya benar-benar menyucikan Allah. Ertinya, dia
melakukan perkara yang selaras dengan suruhan Allah yang Maha Suci dan
meninggalkan apa yang dilarang-Nya. Yang halal, wajib, harus dan sunat
dibuat. Manakala yang haram dan makruh ditinggalkannya. Zina, mengumpat,
mencuri, memfitnah dan lain-lain dosa yang keji dan kotor dijauhi. Bila
ini dapat dilakukan kita telah tiba di dimensi ketiga zikrullah – zikir
fikli!
Sekiranya ketiga-tiga dimensi zikrullah
itu dapat dilakukan, maka kesannya sangat mendalam kepada hati.
Sekurang-kurang hati akan dapat merasakan empat perkara:
Rasa kehambaan. Rasa bertuhan. Memahami maksud takdir. Mendapat hikmah di sebalik ujian.
Hati adalah sumber dari segala-galanya
dalam hidup kita, agar kehidupan kita baik dan benar, maka kita perlu
menjaga kebersihan hati kita. Jangan sampai hati kita kotori dengan
hal-hal yang dapat merosak kehidupan kita apalagi sampai merosak
kebahagiaan hidup kita di dunia ini dan di akhirat nanti.
Untuk menjaga kebersihan hati maka kita
juga perlu untuk menjaga penglihatan, pendengaran, fikiran, ucapan kita
dari hal-hal yang dilarang oleh Allah SWT. Dengan menjaga hal-hal
tersebut kita dapat menjaga kebersihan hati kita. Dengan hati yang
bersih kita gapai kebahagiaan dunia dan akhirat.
Rasa Kehambaan
Rasa kehambaan ialah rasa yang perlu ada
di dalam hati seorang hamba Allah terhadap Tuhan-Nya. Antara rasa itu
ialah rasa miskin, jahil, lemah, bersalah, hina dan lain-lain lagi. Bila
diuji dengan kesakitan, kemiskinan, cercaan misalnya, seorang yang
memiliki rasa kehambaan nampak segala-galanya itu datang daripada Allah.
Firman Allah:
“Katakanlah (Muhammad), tidak akan
menimpa kami melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dialah
pelindung kami, dan hanya kepada Allah bertawakal orang-orang yang
beriman.” (Surah At Taubah: 51)
Seorang hamba akan pasrah dan merasakan
bahawa dia wajar diuji. Bukankah dia seorang hamba? Dia akur dengan apa
yang berlaku dan tidak mempersoalkan mengapa aku yang diuji? Kenapa aku,
bukan orang lain? Ini samalah dengan mempersoalkan Allah yang
mendatangkan ujian itu. Menerima hakikat bahawa kita layak diuji akan
menyebabkan hati menjadi tenang. Jika kita “memberontak” hati akan
bertambah kacau.
Imam Ghazali pernah menyatakan bahawa
cukuplah seseorang hamba dikatakan sudah “memberontak” kepada Tuhannya
apabila dia menukar kebiasaan-kebiasaan dalam hidupnya apabila diuji
Allah dengan sesuatu yang tidak disukainya.
Misalnya, dia tidak lalu mahu makan-minum
secara teratur, tidak mandi, tidak menyisir rambut, tidak berpakaian
kemas, tidak mengemaskan misai dan janggut dan lain-lain yang menjadi
selalunya menjadi rutin hidupnya.
Ungkapan mandi tak basah, tidur tak lena,
makan tak kenyang adalah satu “demonstrasi” seorang yang sudah tercabut
rasa kehambaannya apabila diuji.
Bila ditimpa ujian kita diajar untuk mengucapkan kalimah istirja’ – innalillah wa inna ilaihi rajiun. Firman Allah:
“…Iaitu orang-orang yang apabila ditimpa
musibah, mereka berkata sesungguhnya kami milik Allah dan kepada-nyalah
kami kembali.” (Surah Al-Baqarah: 156)
Mengapa kita diperintahkan mengucapkan istirja’?
Kalimah ini sebenarnya mengingatkan kita
agar kembali merasakan rasa kehambaan. Bahawa kita adalah hamba milik
Allah dan kepada-Nya kita akan dikembalikan. Kita layak, patut dan mesti
diuji kerana kita hamba, bukan tuan apalagi Tuhan dalam hidup ini.
Rasa Bertuhan
Rasa kehambaan yang serba lemah, miskin,
kurang dan jahil itu mesti diimbangi oleh rasa bertuhan. Bila kita rasa
lemah timbul pergantungan kepada yang Maha kuat. Bila kita rasa kurang
timbul pengharapan kepada yang Maha sempurna. Bila miskin, timbul rasa
hendak meminta kepada yang Maha kaya. Rasa pengharapan, pengaduan dan
permintaan hasil menghayati sifat-sifat Allah yang Maha sempurna itulah
yang dikatakan rasa bertuhan.
Jika rasa kehambaan menyebabkan kita
takut, hina, lemah sebaliknya rasa bertuhan akan menimbulkan rasa
berani, mulia dan kuat. Seorang hamba yang paling kuat di kalangan
manusia ialah dia yang merasa lemah di sisi Allah.
Ketika itu ujian walau bagaimana berat
sekalipun akan mampu dihadapi kerana merasakan Allah akan membantunya.
Inilah rasa yang dialami oleh Rasulullah SAW yang menenteramkan
kebimbangan Sayidina Abu Bakar ketika bersembunyi di gua Thaur dengan
katanya, “la tahzan innallaha maana – jangan takut, sesungguhnya Allah
bersama kita!”
Rasa bertuhan inilah yang menyebabkan
para nabi dan Rasul, mujaddid dan mujtahid, para mujahid dan murabbi
sanggup berdepan kekuatan majoriti masyarakat yang menentang mereka
mahupun kezaliman pemerintah yang mempunyai kuasa.
Tidak ada istilah kecewa dan putus asa
dalam kamus hidup mereka. Doa adalah senjata mereka manakala solat dan
sabar menjadi wasilah mendapat pertolongan Allah.
Firman Allah:
“Dan pohonlah pertolongan dengan sabar dan solat.” (Surah Al-Baqarah)
Dalam apa jua keadaan, positif mahupun
negatif, miskin ataupun kaya, berkuasa ataupun rakyat biasa, tidak
dikenali ataupun popular, hati mereka tetap tenang. Firman Allah:
“Dialah Tuhan yang menurunkan ketenangan
ke dalam hati orang yang beriman, supaya keimanan mereka makin bertambah
daripada keimanan yang telah ada. Kepunyaan Allah tentang langit dan
bumi, dan Allah itu Maha Tahu dan Bijaksana.” (Surah Al-Fath: 4)
Bila hati tenang berlakulah keadaan yang dijelaskan oleh Rasulullah SAW melalui sabdanya:
Maksudnya: “Amat menarik hati keadaan
orang beriman, semua pekerjaannya baik belaka, dan itu ada hanya pada
orang beriman: Jika memperoleh kesenangan, dia bersyukur. Dan itu
memberikannya kebaikan (pahala). Jika ditimpa bahaya (kesusahan), dia
sabar dan itu juga memberikannya kebaikan.” – Al Hadis
Memahami Maksud Takdir Allah
Mana mungkin kita mengelakkan daripada
diuji kerana itu adalah takdir Allah SWT. Yang mampu kita buat hanyalah
meningkatkan tahap kebergantungan kita kepada Allah di samping berusaha
sedaya upaya menyelesaikan masalah itu. Ungkapan yang terkenal: We can’t direct the wind but we can adjust our sail – kita tidak mampu mengawal arah tiupan angin, kita hanya mampu mengawal kemudi pelayaran kita.
Kemudi dalam pelayaran kehidupan kita
adalah hati. Hati yang bersifat bolak-balik (terutamanya bila diuji)
hanya akan tenang bila kita beriman kepada Allah – yakin kepada
kasih-sayang, keampunan dan sifat pemurah-Nya. Dalam apa jua takdir yang
ditimpakan-Nya ke atas kita adalah bermaksud baik sekalipun kelihatan
negatif. Baik dan buruk hanya pada pandangan kita yang terbatas, namun
pada pandangan-Nya yang Maha luas, semua yang ditakdirkan ke atas
hamba-Nya pasti bermaksud baik.
Tidak salah untuk kita menyelesaikan
masalah yang menimpa (bahkan kita dituntut untuk berbuat demikian),
namun jika masalah itu tidak juga dapat diselesaikan, bersangka baik
kepada Allah berdasarkan firman-Nya:
“Ada perkara yang kamu tidak suka tetapi
ia baik bagi kamu dan ada perkara yang kamu suka tetapi ia buruk bagi
kamu, Dan sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dan kamu tidak
mengetahuinya.” (Surah Al-Baqarah : 216)
Seorang ahli hikmah, Ibn Atoillah
menjelaskan hakikat ini menerusi katanya, “barang siapa yang menyangka
sifat kasih sayang Allah terpisah dalam takdir-Nya, maka itu adalah
kerana pendeknya penglihatan akal dan mata hati seseorang.”
Siapa tidak inginkan kekayaan, malah kita
dituntut mencari harta. Namun jika setelah berusaha sedaya upaya, masih
miskin juga, bersangka baiklah dengan Tuhan… mungkin itu caranya untuk
kita mendapat pahala sabar. Begitu juga kalau kita ditakdirkan kita
tidak berilmu, maka berusahalah untuk belajar, kerana itulah maksud
Allah mentakdirkan begitu.
Kalau kita berkuasa, Allah inginkan kita
melaksanakan keadilan. Sebaliknya, kalau kita diperintah (oleh pemimpin
yang baik), itulah jalan untuk kita memberi ketaatan. Rupanya cantik
kita gunakan ke arah kebaikan. Hodoh? kita terselamat daripada fitnah
dan godaan. Ya, dalam apa jua takdir Allah, hati kita dipimpin untuk
memahami apa maksud Allah di sebalik takdir itu.
Jadi, kita tidak akan merungut, stres dan
tertekan dengan ujian hidup. Hayatilah kata-apa yang ditulis oleh Ibnu
Atoillah ini: “Untuk meringankan kepedihan bala yang menimpa, hendak
dikenal bahawa Allah-lah yang menurunkan bala itu. Dan yakinlah bahawa
keputusan (takdir) Allah itu akan memberikan yang terbaik.”
Tadbirlah hidup kita sebaik-baiknya,
namun ingatlah takdir Tuhan sentiasa mengatasi tadbir insan. Jangan cuba
mengambil alih “kerja Tuhan” yakni cuba menentukan arah angin dalam
kehidupan ini tetapi buatlah kerja kita, yakni mengawal pelayaran hidup
kita dengan meningkatkan iman dari semasa ke semasa. Kata bijak pandai: “It’s not what happens to you, but it’s what you do about it. It is not how low you fall but how high you bounce back!“
Mendapat Hikmah Bila Diuji
Hikmah adalah sesuatu yang tersirat di
sebalik yang tersurat. Hikmah dikurniakan sebagai hadiah paling besar
dengan satu ujian. Hikmah hanya dapat ditempa oleh “mehnah” – didikan
langsung daripada Allah melalui ujian-ujian-Nya.
Rasulullah s.a.w. bersabda, “perumpamaan
orang yang beriman apabila ditimpa ujian, bagai besi yang dimasukkan ke
dalam api, lalu hilanglah karatnya (tahi besi) dan tinggallah yang baik
sahaja!”
Jika tidak diuji, bagaimana hamba yang
taat itu hendak mendapat pahala sabar, syukur, reda, pemaaf, qanaah
daripada Tuhan? Maka dengan ujian bentuk inilah ada di kalangan para
rasul ditingkatkan kepada darjat Ulul Azmi – yakni mereka yang paling
gigih, sabar dan berani menanggung ujian.
Ringkasnya, hikmah adalah kurnia termahal
di sebalik ujian buat golongan para nabi, siddiqin, syuhada dan solihin
ialah mereka yang sentiasa diuji.
Firman Allah: “Apakah kamu mengira akan
masuk ke dalam syurga sedangkan kepada kamu belum datang penderitaan
sebagai¬mana yang dideritai orang-orang terdahulu daripada kamu, iaitu
mereka ditimpa kesengsaraan, kemelaratan dan kegoncangan, sehingga Rasul
dan orang-orang yang beriman bersamanya merintih: “Bilakah datangnya
pertolongan Allah?” (Surah Al-Baqarah: 214)
Pendek kata, bagi orang beriman, ujian
bukanlah sesuatu yang negatif kerana Allah sentiasa mempunyai
maksud-maksud yang baik di sebaliknya. Malah dalam keadaan berdosa
sekalipun, ujian didatangkan-Nya sebagai satu pengampunan. Manakala
dalam keadaan taat, ujian didatangkan untuk meningkatkan darjat.
Justeru, telah sering para muqarrabin
(orang yang hampir dengan Allah) tentang hikmah ujian dengan berkata:
“Allah melapangkan bagimu supaya engkau tidak selalu dalam kesempitan
dan Allah menyempitkan bagi mu supaya engkau tidak hanyut dalam
kelapangan, dan Allah melepaskan engkau dari keduanya, supaya engkau
tidak bergantung kepada sesuatu selain Allah.”
Apabila keempat-empat perkara ini dapat
kita miliki maka hati akan sentiasa riang, gembira dan tenang dengan
setiap pekerjaan yang dilakukan. Sentiasa melakukan kerja amal, tolong
menolong, bergotong royong, sentiasa bercakap benar, sopan dan hidup
dengan berkasih sayang antara satu dengan lain.
Marilah kita bersihkan hati kita dari segala kotorannya dengan memperbanyak zikrullah. Itulah satu-satunya jalan untuk mencari kebahagiaan di dunia dan di akhirat nanti. Manusia perlukan zikir umpama ikan perlukan air. Tanpa zikir, hati akan mati. Tidak salah memburu kekayaan, ilmu, nama yang baik, pangkat yang tinggi tetapi zikrullah mestilah menjadi teras dan asasnya.
Insya-Allah, dengan zikrullah hati kita
akan lapang sekalipun duduk di dalam pondok yang sempit apatah lagi
kalau tinggal di istana yang luas. Inilah bukti keadilan Allah kerana
meletakkan kebahagiaan pada zikrullah – sesuatu yang dapat dicapai oleh
semua manusia tidak kira miskin atau kaya, berkuasa atau rakyat jelata,
hodoh atau jelita.
Dengan itu semua orang layak untuk
bahagia asalkan tahu erti dan melalui jalan yang sebenar dalam
mencarinya. Rupa-rupanya yang di cari terlalu dekat… hanya berada di
dalam hati sendiri!
No comments:
Post a Comment